|

Berpantang selepas bersalin: Masih relevan?

Berpantang
Telah menjadi satu kebiasaan bagi wanita Asia terutamanya untuk mengamalkan berpantang selepas bersalin. Setiap kelompok etnik di Asia akan memiliki cara-cara dan juga petua tersendiri sepanjang tempoh berpantang. Tempoh masa berpantang boleh bermula dari 40 hari hinggalah 100 hari, mengikut kelompok etnik tertentu. Mungkin ia tidak sama antara satu sama lain, tetapi tujuan utamanya tetap sama: memulihkan tenaga ibu selepas bersalin.

Kenapa perlu berpantang?

Menurut perubatan tradisional, ibu telah melalui tempoh masa yang agak menekankan ketika bersalin. Dipercayai, ibu kehilangan hampir 80% tenaganya dan sebab itulah para ibu mesti melalui proses  berpantang; di mana ibu akan berehat dan memakan makanan yang dibuat khas bagi mengembalikan tenaga luaran dan kekuatan dalaman ibu. Di samping itu, berpantang selepas bersalin juga penting untuk membantu ibu kembali ramping dan langsing seperti sebelum hamil.
Berpantang juga penting kerana mengikut perubatan tradisional, rahim ibu memerlukan jagaan yang rapi akibat tekanan hebat semasa proses bersalin. Maka, ibu akan diurut oleh bidan yang berpengalaman. Ketika tempoh berpantang juga, ibu ditegah untuk bersama dengan suami untuk membantu proses pemulihan rahim dan faraj.

Apakah amalan ketika proses berpantang?

Biasanya, ibu akan meminum air rebusan akar kayu. Air rebusan ini mengandungi herba yang dipercayai dapat membantu mengecutkan rahim dengan lebih sempurna. Ibu juga akan ditungku, iaitu dituam dengan batu ataupun ketulan besi yang dipanaskan. Setelah cukup panas, ketulan ini akan dibungkus dengan daun pandan atau daun herba lain serta kain batik dan dituamkan mengikut arah naik ke bahagian rahim dan juga pangkal peha.
Setelah seminggu melahirkan, ibu akan diurut seluruh badan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman. Urutan ini dipercayai dapat melancarkan pengaliran darah serta membantu mempercepatkan proses penyembuhan rahim, di mana sejenis urutan khusus di bahagian rahim (juga dikenali sebagai urut sangkak) akan dilakukan.
Di samping itu, ibu juga akan memakai barut kain. Ini dilakukan untuk mengelakkan angin dari memasuki badan ibu bersalin. Angin merupakan ‘musuh ketat’ bagi ibu bersalin kerana angin di dalam badan boleh menyebabkan ibu bersalin mengalami bentan. Bentan bermaksud ibu akan menjadi lemah, dan mudah diserang penyakit meroyan.
Ibu juga akan menjalani diet makanan yang agak ketat di mana menu tersebut direka khas bagi mempercepatkan proses pengecutan rahim, mencegah angin dari masuk dan juga memperbanyakkan susu badan.

Masih adakah yang berpantang?

Di zaman moden ini, amalan berpantang dikira sebagai masih relevan walaupun kini amalan ketika berpantang tidaklah seketat di zaman ibu-ibu kita dahulu.  Sebagai contohnya, zaman dahulu ibu berpantang tidak digalakkan minum air banyak ataupun makan buah-buahan, dikhuatiri nanti peranakan akan membengkak dan berair.  Namun begitu kini kita tahu bahawa kedua-dua elemen ini sangat penting untuk menghidratkan ibu dan juga membekalkan vitamin yang secukupnya.
Berpantang merupakan satu ruang bagi ibu berehat secukupnya setelah bersalin; masa berpantang boleh digunakan sepenuhnya oleh ibu untuk merawat dan memanjakan diri sendiri. Berpantang juga merupakan satu peluang istimewa bagi ibu untuk mencipta hubungan dengan si manja. Ini sangat penting terutamanya bagi ibu bekerja yang mungkin di waktu biasa tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk bermanja dengan bayi mereka.
Walaupun ada yang berpendapat bahawa berpantang ini sesuatu yang melecehkan, tetapi amalan berpantang selepas bersalin masih relevan dan diamalkan oleh para ibu di Malaysia. Buktinya, masih ramai tukang urut dan bidan yang menawarkan khidmat mengurut selepas bersalin dan juga penjagaan di dalam pantang. Kini mereka juga telah maju setapak di dalam promosi dan meniagakan khidmat mereka di dalam Internet dan juga majalah-majalah wanita.
Pastikan anda mengikuti kami di Facebook untuk mengikuti artikel-artikel terkini dari Pregnant.my
Comments on the Article