|

Hospital kerajaan terbaik untuk bersalin di Kuala Lumpur dan Selangor

Memilih Hospital Kerajaan
Seringkali kita mendengar desas-desus bahawa hospital kerajaan tidaklah sebagus hospital ataupun pusat rawatan swasta. Ini telah menyebabkan ramai ibu lebih gemar memilih hospital swasta atas sebab mahu perkhidmatan yang lebih memuaskan. 
Namun begitu, seiring dengan kemajuan teknologi dan juga pemantapan perkhidmatan sektor kesihatan kerajaan,  hospital kerajaan sudah semakin meningkatkan tahap perkhidmatan dan juga mutu kepakaran para petugasnya.  Kini kesemua hospital kerajaan mengamalkan Kempen Susu Ibu di mana para ibu digalakkan menyusukan bayi mereka dengan susu badan dan bukan susu formula.
Berikut merupakan 5 hospital kerajaan terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor (tidak mengikut sebarang kedudukan) berdasarkan kajian penulis:

Hospital Putrajaya

Hospital Putrajaya terletak di Jalan P9, Presint 7 Putrajaya.
Hospital ini merupakan antara hospital yang mempunyai kemudahan Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (SPPBP) di mana pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan yang lebih khusus dan juga boleh memilih pakar ob/gyn mereka sendiri. 
Untuk mendaftar bagi skim ini, anda perlulah menyatakan bahawa anda berminat untuk mendapatkan SPPBP (atau juga dikenali sebagai skim FPP – Full Paying Patients). Seterusnya, anda akan memilih pakar ob gyn yang anda inginkan dan anda akan diberi jadul untuk pemeriksaan selanjutnya.
Ketika anda sudah ingin bersalin, anda akan diminta untuk membayar deposit sebanyak RM3000 sebelum boleh mendaftar masuk. Setelah proses bersalin selesai, semak dengan kaunter pendaftaran samada anda boleh mendapatkan kembali baki deposit atau terpaksa membayar lebih. Bayaran lebih akan diperlukan jika anda bersalin menerusi pembedahan (iaitu Ceasarian). Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit atau bayaran tunai.
 

Hospital Serdang

Hospital Serdang terletak di Kajang dan ia mengadakan hubungan kerjasama dengan Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM). Hospital ini memiliki kakitangan yang cekap dan juga kemudahan peralatan perubatan yang terkini. Jumlah pesakit juga tidaklah seramai hospital lain – jadi tidak ada masalah keciciran pesakit. Tidak seperti Hospital Putrajaya, hospital ini tidak memiliki kemudahan SPPBP/FPP.
 

Hospital Selayang

Hospital Selayang terletak berhampiran dengan Lebuhraya Selayang – Kepong. 
Hospital ini menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Perubatan UiTM (Fakulti Selayang). Hospital Selayang merupakan hospital kerajaan pertama yang dibina mengikut konsep ‘smart hospital’. Hospital ini menawarkan kemudahan SPPBP/FPP tetapi para ibu dinasihatkan untuk mendaftar seawal mungkin kerana jumlah pesakit di hospital ini agak ramai.
 

Pusat Perubatan Universiti Malaya

Terletak di Fakulti Perubatan dan juga Fakulti Pergigian Universiti Malaya, PPUM menawarkan khidmat perubatan profesional dan pakar perubatan terlatih. Istimewanya di sini, terdapat Pusat Penyakit Asma paling efisyen di Malaysia. Jadi bagi para ibu yang menghidapi masalah asma, anda digalakkan datang ke sini untuk membuat pemeriksaan. 
Selain dari wad biasa, PPUM juga mempunyai wad swasta (private wing) yang tersendiri iaitu UMSC (University of Malaya Specialist Centre). Ia merupakan bahagian berasingan dari PPUM dan ia menawarkan khidmat perubatan yang lebih menyeluruh, dengan bayaran yang agak mahal berbanding dengan kos bayaran di PPUM. Walaupun UMSC dikira sebagai swasta, status PPUM masih kekal separa kerajaan, jadi anda masih perlu membawa bersama anda surat rujukan dari doktor di klinik sebelum anda boleh mendaftar masuk.
 

Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia

PPUKM terletak di  Bandar Tun Razak, Cheras (berhadapan dengan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dan Kompleks  Renang  Kuala Lumpur).  
Seperti PPUM, anda diminta menyediakan surat rujukan dari doktor di klinik ibu mengandung  sebelum anda boleh mendaftar masuk ke hospital ini. Hospital ini merupakan antara hospital terbaik bagi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi kerana ia memiliki antara pakar ob/gyn terbaik di Malaysia. Satu lagi faktor yang meyebabkan PPUKM menjadi pilihan ialah hanya seorang ibu akan ditempatkan di dalam satu Bilik Bersalin. Maksudnya ibu tidak akan berkongsi bilik tersebut dengan ibu lain, seperti amalan biasa di hospital kerajaan lain.
PPUKM juga menyediakan wad swasta (private wing) bagi ibu-ibu yang menginginkan privasi yang lebih bagi proses kelahiran bayi mereka. Seperti  UMSC, UKMSC (UKM Specialist Centre) merupakan satu bahagian lain walaupun UKMSC berkongsi bangunan dengan PPUKM. Sila hubungi UKMSC untuk maklumat lebih lanjut mengenai kadar bayaran kerana bertukar setiap tahun.

Pastikan anda mengikuti kami di Facebook untuk mengikuti artikel-artikel terkini dari Pregnant.my

Comments on the Article